Jalan raya bukan hanya digunakan oleh pemandu kereta sahaja. Ia turut dikongsi dengan kenderaan lain seperti motosikal, lori, bas dan sebagainya. Kemalangan pula boleh melibatkan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta bertembung dengan kereta atau mungkin juga kereta bertembung dengan motosikal. Selalunya dalam kes kemalangan yang melibatkan motosikal dan kereta, pemandu kereta yang sering dipersalahkan. Mungkin kerana alasan kereta lebih besar dari motosikal jadi, pemandu yang harus berhati-hati. Sekiranya anda, pemilik kereta mengalami kemalangan dengan motosikal, pastikan anda faham dengan situasi yang anda sedang alami bagi memudahkan anda mengambil langkah-langkah yang perlu.
1. Tahu Siapa Yang Bersalah
Sekiranya anda memang yakin anda bukan punca berlakunya kemalangan tersebut, sebagai contoh, motosikal tersebut yang menyelit terlalu rapat, anda boleh sahaja membawa kes tersebut ke mahkamah. Pastikan anda memaklumkan kepada syarikat insurans tentang kes saman ini kerana polisi insurans anda boleh menanggung kos unfang-undang sehingga RM2,000. Tetapi, jika jumlah kerosakan yang dialami adalah terlalu sikit, mungkin tidak berbaloi untuk anda sehingga terpaksa meminta cuti bagi naik turun mahkamah.
2. Buat Tuntutan Insurans Terhadap Penunggang Motosikal Tersebut
Jika polis pun bersetuju bahawa anda tidak bersalah, anda boleh membuat tuntutan insurans terhadap penanggung insurans penunggang motosikal terbabit. Ramai yang tidak tahu bahawa mereka boleh membuat tuntutan insurans sekiranya mengalami kemalangan dengan motosikal. Ini kerana pemilik motosikal tidak diwajibkan untuk membeli insurans kenderaan. Tetapi, untuk pengetahuan anda, setiap kenderaan bermotor di negara ini diwajibkan untuk memiliki sekurang-kurangnya insurans Pelindungan Pihak Ketiga. .Jadi anda boleh mula menuntut ganti rugi melalui Tuntutan Kerosakan Harta Benda Pihak Ketiga atau ‘Third Party Property Damage’ (TTPD) ke atas pihak insurans pemilik motosikal terbabit. Jika anda tidak tahu bagaimana cara untuk melakukannya, anda boleh meminta bantuan dari pihak insuran anda untuk menyelesaikannya bagi pihak anda.
3. Bagaimana Jika Insurans Telah Tamat Tempoh Atau Tidak Memiliki Insurans Langsung?
Jika insurans penunggang terbabit telah tamat tempoh atau dia tidak memiliki insurans, anda tentulah tidak boleh memohon untuk tuntutan TTPD tadi. Apa yang boleh anda lakukan adalah membuat terus tuntutan kepada penunggang tersebut dengan bantuan peguam. Tetapi, harus diingatkan kos melantik peguam adalah tinggi, Jadi pastikan tuntutan yang anda buat itu berbaloi. Sekiranya kos kerosakan adalah rendah dan anda mampu tanggung sendiri, tidak perlulah bersusah payah membuat tuntutan terhadap penunggang terbabit. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk membuat tuntutan daripada syarikat insurans anda sendiri sekiranya anda mengambil pelan Pelindungan Komprehensif.
4. Melanggar Penunggang Yang Tidak Menggunakan Laluan Motosikal
Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang penunggang motosikal itu tidak menggunakan laluan motosikal. Jika di sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM300. Walaupun mereka boleh dianggap melakukan kesalahan trafik, tetapi untuk kes kemalangan, ia tetap akan mengambil kira siapa yang langgar siapa. Sekiranya anda memandu dengan cara berbahaya dan anda melanggar mereka, jadi andalah yang bersalah. Jadi, kos kerosakan, tanggunglah sendiri.
5. Bagaimana Jika Nak Selesaikan Cara Baik
Walaupun anda dan penunggang terbabit bersetuju untuk menyelesaikan kes ini secara baik, anda tetap perlu untuk membuat laporan kemalangan tersebut di Balai Polis. Kegagalan anda untuk berbuat demikian boleh membuatkan anda disaman RM120. Maklumkan juga kepada pihak insurans anda bahawa anda telah menyelesaikan kes tersebut dan tidak mahu membuat sebarang tuntutan sebagai langkah berjaga-jaga takut penunggang terbabit membuat tuntutan terhadap anda pula nanti. Ketahuilah hak anda sekiranya terlibat di dalam kemalangan. Bagi penunggang motosikal pula, jangan abaikan kepentingan memiliki insurans. Ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk diri anda sendiri juga. Dapatkan maklumat tentang insurans motosikal di laman web Fincrew.my.