Renew Auto Insurance
Faktor-Faktor Pengaruhi Harga Insurans Kereta Blog Featured Image
Auto Insurance

Faktor-Faktor Pengaruhi Harga Insurans Kereta

Faktor-Faktor Pengaruhi Harga Insurans Kereta Blog
4.32KViews

Sudah menjadi kewajipan untuk para pemandu di Malaysia untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka pada setiap tahun bersama dengan cukai jalan. Tetapi, anda semua tentu perasan yang insurans kereta lebih mahal berbanding dengan insurans motosikal.  Kenapa agaknya, ya? Berikut merupakan 7 sebab yang mempengaruhi harga premium insurans kereta:

1. Usia Pemandu

Anda mungkin tak perasan tentang perkara ini. Umur pemandu boleh mempengaruhi harga insurans kereta. Pemandu yang berumur dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun perlu membayar premium yang lebih tinggi berbanding dengan pemandu yang lebih berusia. Ini mungkin disebabkan oleh statistik kemalangan di Malaysia yang menunjukkan pemandu baru dan pertama kali memandu berpotensi tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.

2. Jantina

Apa kaitan jantina dengan premium insurans? Berdasarkan statistik kemalangan di Malaysia, kaum lelaki lebih ramai terlibat dalam kemalangan berbanding dengan wanita. Kemalangan jalan raya dikatakan menjadi penyebab utama ketiga kematian lelaki dan kelima bagi wanita. Pasti ada yang tidak bersetuju dan mengatakan bahawa pemandu lelaki lebih cekap memandu berbanding dengan pemandu wanita. Tetapi inilah kenyataannya. Mahu tak mahu, jika anda lelaki anda perlu membayar premium insurans yang lebih tinggi berbanding dengan wanita.

3. Tempat Tinggal

Kalau anda perasan, kadar kemalangan selalunya adalah lebih tinggi di negeri yang mempunyai ramai penduduk dan bandar-bandar besar seperti Selangor, Johor dan Kuala Lumpur. Selain daripada kemalangan jalan raya, negeri-negeri ini juga memiliki kadar pelanggaran trafik serta vandalisme yang tinggi. Jadi kenderaan anda berkemungkinan dirosakkan secara sengaja atau pun tidak sengaja.
Berbeza pula dengan negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang lebih rendah seperti Perlis, Terengganu dan Kelantan. Negeri-negeri ini mencatatkan kadar kemalangan serta masalah trafik yang lebih rendah. Jadi premium insurans mereka juga lebih murah. Lagi satu, jika kawasan tempat tinggal anda itu sering dilanda bencana alam seperti banjir, anda juga mungkin akan dikenakan bayaran premium yang lebih tinggi oleh syarikat insurans.

4. Usia Kenderaan

Tahukah anda? Usia kereta yang terlalu lama juga dikenakan insurans yang lebih tinggi. Ini kerana kereta lama ini dianggap lebih berisiko untuk berada di atas jalan raya. Keadaan ini mungkin dipengaruhi oleh ciri-ciri keselamatan yang telah ketinggalan zaman serta kemungkinan berlaku kerosakan dalaman kenderaan yang tidak disedari. Terdapat juga kes di mana kenderaan lama tidak layak untuk memohon pelindungan insurans. Jika kereta anda telah berusia lebih daripada 15 tahun, polisi insurans pihak ketiga iaitu Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) akan memastikan kereta anda itu dilindungi.

5. Rekod Pemanduan

Semasa anda membuat permohonan untuk membeli polisi insurans, pihak insurans akan membuat penelitian terhadap sejarah pemanduan anda. Sekiranya didapati anda pernah mengalami kemalangan, mempunyai rekod kesalahan trafik dan sebagainya anda akan dikenakan kadar premium yang lebih tinggi. Jadi, berhati-hati dan pandu secara berhemat bukan sahaja untuk keselamatan diri, tetapi juga untuk mendapatkan harga premium insurans yang lebih berpatutan.

6. Kenderaan Berpotensi Untuk Dicuri

Ada sesetengah model kenderaan menjadi pilihan pencuri. Antara kenderaan yang berada dalam senarai Kenderaan Berisiko Tinggi untuk Dicuri adalah Proton Iswasa, Perodua Myvi, Proton Waja, Toyota Hilux dan juga Proton Wira. Jika anda memiliki kenderaan jenis ini, bersedialah untuk premium insurans yang lebih mahal.

7. Polisi Tambahan

Sekiranya anda meminta untuk membuat tambahan pada polisi sedia ada, tentulah anda perlu membayar premium yang lebih tinggi dari biasa. Tetapi, walaupun mahal pelan insurans tambahan ini tentunya akan memberikan pelindungan yang lebih baik. Sebenarnya terdapat pelbagai pelan insurans diluar sana yang boleh anda pilih bersesuaian dengan keperluan anda. Anda boleh melakukan perbandingan sebut harga di Fincrew bagi mencari sebut harga yang sesuai dengan bajet serta pelindungan yang anda mahukan.

Compare and renew car insurance with fincrew

Leave a Reply