Terlibat dengan kemalangan jalan raya merupakan satu mimpi ngeri untuk kebanyakan pemandu, dan ia juga agak sukar untuk ditangani. Tidak ada istilah ‘worry-free accident’, jadi penting untuk mengetahui langkah-langkah yang betul untuk memulakan tuntutan insurans kereta setelah berlakunya kemalangan. Berikut merupakan langkah-langkah yang harus anda ikuti sekiranya anda terlibat dalam kemalangan kereta.
View this post on Instagram
Langkah 1 – Matikan Enjin, Bertenang Dan Jangan Panik
Hidupkan ‘hazard warning lights’ dan juga lampu hadapan kereta anda kemudian keluar dari kenderaan sekiranya mampu. Kemudian periksa sekiranya ada sesiapa yang tercedera dan hubungi perkhidmatan kecemasan sekiranya ada yang memerlukan bantuan perubatan. Hubungi polis dan laporkan kemalangan tersebut.
Langkah 2 – Jangan Menyalahkan Sesiapa Atau Menerima Kesalahan Di Atas Kemalangan Itu
Walaupun kemalangan tersebut bukan berpunca daripada anda, menerima kesalahan serta menawarkan penyelesaian untuk menjaga adab, boleh menjerut anda kembali di kemudian hari. Syarikat insurans anda akan susah untuk memberikan kerjasama nanti.
Langkah 3 – Mengumpulkan Kesemua Maklumat Serta Informasi Penting Tentang Kemalangan Itu
Catatkan maklumat-maklumat berikut:
- Maklumat peribadi pemandu yang terlibat dalam kemalangan – nama, nombor IC, alamat, nombor lesen memandu, dan nombor telefon (sekiranya boleh)
- Nama syarikat insurans serta jenis/model dan nombor pendaftaran kenderaan lain yang terlibat
- Nombor pendaftaran trak tunda (sekiranya ada)
- Lokasi tepat kemalangan berlaku
- Kelajuan anda memandu serta tarikh dan masa kemalangan
- Cuaca dan keadaan jalan
- Masa polis tiba, juga nama dan nombor lencana mereka
- Saksi (jika boleh, dapatkan nama dan juga maklumat untuk menghubungi mereka)
Langkah 4 – Ambil Foto Kejadian
Gambar merupakan bukti kemalangan itu, dan ia mestilah merangkumi kenderaan pemandu lain yang terlibat, plat kenderaan, sebarang kekacauan yang dilakukan terhadap kedua-dua kenderaan, arah perjalanan kedua-dua kenderaan serta tanda lalu lintas. Agak sukar untuk mengingat kembali segala butiran ini walaupun hanya selepas beberapa jam kejadian itu berlaku. Foto-foto ini dapat membantu syarikat insurans dan juga pihak polis.
Langkah 5 – Buat Laporan Kemalangan
Pastikan laporan kemalangan itu merangkumi nama semua pegawai polis, nombor lencana dan juga maklumat untuk dihubungi. Maklumat ini sangat berguna untuk tuntutan insurans dan boleh membantu anda sekiranya kes ini berlanjutan hingga ke mahkamah.
Langkah 6 – Telefon Trak Tunda
Jika kereta anda tidak selamat untuk dipandu, hubungi syarikat insurans anda untuk mendapatkan servis ‘roadside assistance’(sekiranya ada) atau Bantuan Kemalangan untuk menarik kereta anda ke bengkel panel terdekat untuk dibaiki dan pulang dengan selamat.
Langkah 7 – Memfailkan Tuntutan
Kemukakan tuntutan dengan menghubungi syarikat insurans secepat mungkin. Kebanyakan polisi memerlukan anda untuk membuat laporan terhadap insiden yang berlaku secepat mungkin. Ingat! Jangan tandatangan sebarang dokumen dari peguam pemandu lain atau syarikat insuransnya. Syarikat insurans anda akan menguruskan semua ini untuk anda.
Langkah 8 – Jaga Diri Anda
Selalunya, kecederaan fizikal dan juga emosi akibat kemalangan tidak dapat dilihat serta merta dan mungkin berbeza bagi setiap orang. Sebelum anda kembali ke rutin harian anda, sebaiknya dapatkan rawatan perubatan. Kecuali anda benar-benar yakin bahawa anda tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan kereta boleh mengakibatkan pemandu yang paling bersedia pun letih. Tetapi dengan mengikuti langkah-langkah ini, ia akan membantu melindungi anda daripada perasaan bimbang. Dengan ini anda boleh fokus untuk berurusan dengan syarikat insurans bagi membaiki kereta anda tanpa sebarang masalah dengan lebih cepat daripada apa yang anda harapkan.